Sunday, April 26, 2015

PERANAN DAN CABARAN DALAM MELAHIRKAN INDIVIDU 
YANG PROGRESIF DAN BERKUALITI


Falsafah pembangunan bangsa dan negara yang menjadi dasar kepimpinan negara seperti yang dijelaskan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Dr. Mahathir Mohammad, menyatakan bahawa konsep negara maju yang hendak diwujudkan di Malaysia menjelang tahun 2020 adalah berteraskan aspek sahsiah diri seperti moral dan etika dalam mencapai tahap kemajuan ekonomi dan perindustriannya. Dalam melahirkan masyarakat yang bermoral dan bertamadun, pembangunan bangsa Malaysia di dalam negara maju itu perlu berasaskan pembangunan insan yang dapat melahirkan masyarakat bangsa yang bersatu, saintifik, progresif, maju, berjiwa bebas, penyayang dan bersifat dengan sifat-sifat murni yang lain. Kecemerlangan kebendaan yang dijiwai oleh kecemerlangan moral dan akhlak manusia itu sendiri menjadi aspek utama dalam usaha melahirkan membentuk negara maju pada tahun 2020.

Dalam usaha untuk melahirkan insan yang progresif dan berkualiti pelbagai pihak harus menjadikan ianya sebagai tanggungjawab  bersama dalam memastikan usaha murni ini tercapai. Institusi formal dan tidak formal, termasuklah rumah tangga, media massa dan sebagainya menjadi pemangkin kepada pembentukan individu yang progresif dan berkualiti. Sekolah merupakan sebuah institusi yang berperanan dalam melahirkan pelajar yang berkualiti, namun institusi formal ini kadang-kala tidak dapat melahirkan individi gred A ini. Pendidikan formal di Malaysia tidak akan memberi sepenuhnya perhatian terhadap anak-anak murid. Oleh itu, Institusi ini bertnggugjawab dalam menguruskan pelajar supaya menjadi insan yang lebih fokus terhadap tujuan sebenar mendidik pelajar menjadi insan yang lebih baik di masa hadapan.

Cabaran dalam melahirkan dan membentuk manusia yang mempunyai sahsiah diri yang baik tidak dapat dicapai di dalam dunia yang serba moden dan canggih ini. Hal ini kerana, sistem sosial, perundangan, perekonomian dan lain-lain lagi tidak berasaskan struktur yang kondusif untuk melahirkan manusia seperti yang dihajati. Kewujudan pusat-pusat hiburan, perkembangan program televisyen yang tidak dikawal, kelonggaran ikatan kekeluargaan, dan kepincangan sosio budaya yang lain telah membantu melahirkan generasi muda yang berfikiran pasif, tidak peka terhadap nilai-nilai budaya yang tnggi, tidak menghargai masa, dan pelbagai sikap negatif yang lain.

Dalam perkembangan dunia perniagaan dan perdagangan pula, sikap tidak bermoral seperti dengki, tamak, rasuah, penipuan dan pelbagai lagi dapat dilihat dengan jelas dan hal ini menunjukkan bahawa masalah ini tidak boleh dikawal lg. Masalah ini jelas sekali membuktikan bahawa masyarakat masih tidak menerapkan nilai-nilai murni yang baik dan tidak mempunyai sahsiah diri yang cemerlang. Konflik dan krisis nilai murni yang dihadapi oleh golongan muda kini menunjukkan bahawa kekuatan atau keinginan dalam merebut kekuasaan melebihi daripada kekuatan moral dan peradaban manusia yang tinggi.

Kesimpulannya, menyedari hakikat ini, maka pelbagai usaha perlu dilakukan bagi memudahkan penyaluran maklumat kepada individu yang kurang jelas mengenai kepentingan pembentukkan sahsiah diri yang cemerlang tersebut. Pelbagai pihak perlu tampil untuk membantu pelajar-pelajar yang tidak mengetahui akan pentingnya pembentukkan sahsiah diri dan peningkatan terhadap sikap-sikap mahmudah.


Rujukan : Nik Mustapha Haji Nik Hassan, Siti Fatimah Abdul Rahman, Alias Ibrahim (1993). Islam, Budaya Kerja dan Pembangunan Masyarakat- Satu Kefahaman. Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sunday, April 19, 2015

Pandangan Islam mengenai Pelaku Pembangunan 
(Manusia)


Allah S.W.T berkehendakkan kita sebagai hambanya mengetahui dan mengamalkan ajaran Islam dalam segala segi. Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang berbunyi "Udkhulu fis silmi kaffah". Ayat tersebut mengandungi dua maksud iaitu maksud yang pertama: Masuklah kamu sekalian ke dalam damai. maksud yang kedua: Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan. Erti yang kedua inilah yang menunjukkan bahawa Allah S.W.T menegaskan Islam itu perlu diketahui dan diamalkan secara keseluruhan.

Secara keseluruhannya Islam merupakan agama yang kukuh, dimana ia meliputi sesuatu sistem yang mempunyai beberapa sub-sistem yang lain. Sistem dan sub-sistem ini bertujuan untuk mencapai sesuatu tujuan yang tertentu. Mengenal Islam mestilah secara keseluruhan dan bukan pada bahagian-bahagian tertentu sahaja.

Kehidupan Manusia beragama di dunia ini mempunyai dua tujuan iaitu mencari kesenangan hidup di dunia dan kesenangan hidup di akhirat. Hal ini tergambar di dalam setiap harapan manusia yang berkehendakkan kesenangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Kedua-dua tujuan ini perlulah ditempuh dengan seimbang dimana apabila kehidupan dunia bersifat material dan kehidupan akhirat dalam bentuk spiritual, maka manusia haruslah seimbangkan antara kehidupan yang material dan spiritual.

Dalam usaha manusia memenuhi kesenangan dunia, ia berhubung dengan manusia lain di sekelilingnya. erti kata lain untuk mendapatkan kesenangan kita harus menjaga hubungan baik sesama manusia. Begitu juga untuk mendapatkan kebahagiaan di akhirat, manusia perlu menjaga hubungan baik dengan pencipta iaitu Allah S.W.T. Oleh itu, untuk mencapai kesenangan di dunia dan di akhirat kita harus menjaga hubungan baik dengan Allah yang disebut hablun min Allah dan menjaga hubungan baik dengan manusia sekitarnya yang disebut hablum min an-Nas.

dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan antara manusia dengan Allah dan manusia sesama manusia, Islam mempunya dasarnya yang tertentu iaitu berdasarkan wahyu Allah. Wahyu Allah tidak menjelaskan segala sesuatu itu secara terperinci, Oleh itu menjadi tanggungjawab manusia yang diberi akal oleh Allah dan berperanan sebagai khalifah di muka bumi ini untuk mentafsir, memperincikan dan mengembangkan konsep tersebut.

Kesimpulannya, fungsi manusia di muka bumi ini sangat luas kerana manusia memang dijadikan Allah sebagai khalifah di muka bumi bukan sahaja untuk kesenangan diri sendiri tetapi untuk menyumbangkan ilmu pengetahuan kepada orang lain. Manusia hanya perlu berpegang kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah dan cuba untuk mentafsir bagaimana untuk sampaikan kepada manusia yang lain. Oleh itu kata kunci yang paling penting disini adalah ilmu pengetahuan. jika seseorang mempunyai ilmu pengetahuan untuk dirinya dan menyumbangkan ilmu tersebut kepada manusia yang lain maka dia akan memperoleh kesenangan bukan sahaja di dunia malah di akhirat.


Rujukan:

1. A. Rifa'i Hassan & Amrullah Achmad (1987). Perspektif Islam dalam Pembangunan Bangsa (Pertemuan Cendekiawan Muslim Pertama Lembaga Studi Agama dam Filsafat (LSAF). Yogyakarta: Indonesia.