Monday, April 18, 2016

Kualiti Dari Perspektif Islam

Kualiti adalah perkara yang amat penting yang ditekankan dalam Islam seperti yang terkandung dalam al-Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W. yang menegaskan bahawa manusia patuh terhadap penerapan kualiti sebagai salah satu langkah untuk berhubung bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk berhubungan dengan orang lain dalam usaha untuk menimbulkan persekitaran yang selesa dan adil.

Kualiti dalam Islam mempunyai maksud yang pelbagai. Jika dilihat dari versi al-Quran dan Hadith, kualiti mempunyai banyak kelebihan antaranya adalah kualiti yang mempunyai keindahan tersendiri yang membawa maksud membuat tugasan secara betul, lengkap dan sempurna tanpa sebarang kecacatan. Seterusnya, kualiti dalam perspektif Islam sentiasa menunjukkan peningkatan. Terdapat pelbagai ayat dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa kualiti dalam Islam sentiasa menunjukkan peningkatan. Sebagai contoh, firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud, “buatlah kebaikan, maka Allah akan sayang kepada mereka yang membuat kebaikan”, (2:195). Ayat ini jelas menunjukkan bahawa memberi tumpuan terhadap peningkatan kualiti maka ianya sesuatu perkara yang baik. Sesuatu perkara yang baik itu disayangi oleh Allah. Kualiti juga dilihat sebagai sesuatu yang memberi kebaikan sebagai contoh dengan meningkatkan kualiti produk maka ianya mempunyai kesan positif terhadap organisasi. Sesuatu perkara jika dibuat dengan sepenuh hati akan memberi kesan yang mengagumkan. Kualiti dari perspektif Islam yang terakhir adalah buat yang terbaik. Perkara ini adalah salah satu konsep asas dalam Islam yang mana pelaksanaannya adalah lengkap dan sempurna.


Kesimpulannya, dalam Islam kualiti di pandang sesuatu yang bernilai bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk semua orang yang terlibat. Pengurusan kualiti yang baik akan mendatangkan hasil yang sempurna.

Saturday, April 16, 2016

Asas Kerakteristik menurut pandangan pengurusan Islam dalam sistem Pengurusan Kualiti

Dalam Islam, setiap kerakteristik yang dibangunkan adalah berdasarkan perspektif al-akhirah. Setiap kerakteristik itu perlu melihat tujuannya adakah untuk dunia sahaja atau akhirat juga. Setiap apa tindakan yang dilakukan mempunyai halal dan haram serta hukuman-hukuman yang dikenakan juga terhadap mereka yang membuat kesalahan.
Dalam pandangan pengurusan Islam juga, kerakteristik perlu melihat kepada kehidupan manusia di muka bumi ini. Setiap hubungan tersebut perlulah mempunyai kaitan dengan keagamaan dan berlaku secara berterusan.
Terakhir adalah berkenaan dengan pengurusan organisasi. Dalam kepercayaan Islam, objektif organisasi samaada ekonomi atau tidak ekonomi perlulah mempunyai kefahaman yang luas mengenai kewujudan manusia.
Dalam sistem pengurusan kualiti (MS 1900:2005), pengenalan asas dalam dokumen tersebut adalah membincangkan mengenai undang-undang Islam (syariah). Dalam dokumen tersebut menjelaskan undang-undang Islam merupakan perintah yang dikeluarkan oleh Allah S.W.T. secara menyeluruh dalam kehidupan manusia daripada pelbagai aspek. Setiap manusia pula bertanggungjawab dalam mematuhi segala perintih yang dikeluarkan oleh Allah S.W.T. Undang-undang Islam tersebut meliputi ideologi dan takdir, prinsip-prinsip sosial, undang-undang dalam menjaga hubungan sesama manusia, peraturan-peraturan berkaitan dengan undang-undang dan sebagainya.
Kesimpulannya, dalam sistem pengurusan kualiti juga membincangkan tentang aspek kerakteristik yang dititikberatkan dalam Islam. Usaha ini adalah demi memastikan bahawa sistem pengurusan kualiti mencapai tahap terbaik tanpa mengabaikan undang-undang dan hak-hak manusia. Kerakteristik yang dimaksudkan juga bukan hanya meliputi manusia semata-mata malah cara pengurusan organisasi itu sendiri dalam menguruskan dan membangunkan sistem pengurusan kualiti yang terbaik.



Kualiti dan Pengurusan Kualiti (Sistem)

Dalam setiap institusi pembangunan, terdapat sistem pengurusan kualiti yang tersendiri. Sistem pengurusan kualiti ini amat penting dalam usaha untuk memudahkan perjalanan pengurusan sesebuah institusi. Sebelum penerangan lebih lanjut berkenaan dengan sistem pengurusan kualiti elok rasanya kita mengetahui terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan kualiti itu sendiri.
Sesetengah penyelidik mendifinisikan kualiti sebagai hubungan untuk melengkapkan setiap level perkhidmatan produk yang digunakan oleh pengguna dengan memenuhi tujuan yang telah ditetapkan oleh organisasi. Maksud lain bagi kualiti juga didefinisikan sebagai tahap kemajuan yang memenuhi semua keperluan dan kerakteristik entiti yang patuh dengan keupayaan untuk memuaskan kehendak pengguna yang memerlukan perkhidmatan.
Pengurusan kualiti pula menerima sepenuhnya fungsi asas pengurusan dengan mewujudkan aktiviti yang bersesuaian dalam usaha untuk mengkoordinasi organisasi secara berterusan dan menghadkan pencapaian kualiti tersebut berdasarkan matlamat organisasi.
Sistem Pengurusan kualiti pula adalah sebahagian daripada sistem pengurusan organisasi yang berhubung dengan definisi polisi kualiti, objektif, dan pencapaian keseluruhan set pengurusan aktiviti yang dijalankan untuk mencapai kualiti objektif yang telah dibangunkan.

Secara kesimpulannya, kualiti sesebuah organisasi berhubungkait dengan sistem pengurusan kualiti yang dibangunkan oleh sesebuah organisasi itu sendiri. Jika sistem kualitinya mempunyai semua aktiviti yang boleh meransang pembangunan organisasi maka sesebuah organisasi tersebut mencapai tahap kualiti yang terbaik 

Monday, November 16, 2015

Perwatakan Pelaku Pembangunan Menurut Al-Quran

Perwatakan pelaku pembangunan ada dibincangkan dalam al-Quran, namun ianya tidak secara khusus memfokuskan terhadap perwatakan pelaku pembangunan. Terdapat beberapa surah yang membincangkan mengenai perwatakan manusia seperti Surah al-Furqan, Surah Luqman, Surah al-Mukminun, Surah Mukmin, dan pelbagai surah lagi di dalam al-Quran. Perwatakan pelaku pembangunan dilihat lebih banyak dikupas di dalam Surah al-Furqan dimana di dalam surah tersebut membincangkan 11 perwatakan yang perlu ada dalam diri seseorang insan.

Perwatakan pertama yang dibincangkan adalah mengenai solat malam. Dalam Surah al-Furqan manusia yang berfungsi sebagai hamba Allah SWT dengan melakukan ibadah solat malam ini dianggap mereka yang amat menitik beratkan soal ibadah. Namun tafsiran surah ini menggambarkan solat malam ini sebagai salah satu ibadah khusus dan ibadah umumnya adalah dengan menjalankan aktiviti pembangunan. Dalam hal ini, seseorang pelaku pembangunan amat menjaga ibadah pada malam hari seperti yang dijelaskan dalam Surah al-Furqan yang bermaksud:

"Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri
untuk Tuhan mereka" (al-Furqan, 25:64).

Perwatakan ke-dua adalah takut akan azab Allah. Seorang pelaku pembangunan yang berjaya perlulah mempunyai sikap takutkan azab Allah supaya mereka takut untuk melakukan dosa semasa menguruskan pembangunan. Oleh yang demikian, di dalam Surah al-Furqan ini digambarkan pelaku pembangunan sangat takutkan azab Allah yang pedih dan dasyat. Perkara ini disebut dalam Surah al-Furqan yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha penyayang itu (ialah) orang-orang
yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila
orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata
(yang mengandungi) keselamatan. Dan orang yang melalui malam
hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka. Dan orang-
orang yang berkata: "Ya Tuhan kami Jauhkan azab Jahannam dari
kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal".
Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap
dan tempat kediaman" (al-Furqan, 25:63-64).

Dalam ayat ini menunjukkan bahawa, ketakutan manusia ini seolah-olah mereka melihat dengan sendirinya tentang balasan azab di akhirat kelak sedangkan manusia itu hanya mengetahui mengenai pembalasan itu melalui al-Quran dan Hadith Baginda SAW. Hal ini diperkatakan oleh Sayyid Qutb (2000:565) dan al-Qurtubiy (2009:176) dengan mengatakan bahawa mereka amat takutkan azab api neraka yang menjadi seburuk-buruk tempat kembali.

Seterusnya perwatakan mentauhidkan Allah yang menjadi aspek penting dalam kehidupan umat Islam kerana ia menjadi dasar kepada keislaman seseorang manusia. Perkara ini jelas digambarkan dalam Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain
beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah
(membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak
berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya
dia mendapat (pembalasan) dosa (nya)" (al-Furqan, 25:68).

Menurut al-Tabariy (2009:478) maksud daripada ayat tersebut adalah orang-orang yang tidak menyembah Tuhan sambil menyembah Allah SWT bererti mempersekutukan dalam ibadah mereka terhadap Allah SWT.

Perwatakan terakhir dalam menjaga hubungan dengan Allah adalah dengan menghayati ayat-ayat Allah SWT. Perwatakan ini dapat mewujudkan keinsafan di dalam diri manusia tersebut dengan menghayati nasihat-nasihat melalui ayat-ayat Allah SWT. Pelaku pembangunan yang menghayati ayat-ayat Allah dengan baik akan membuatkan mereka lebih memahami dan beramal dengan nasihat-nasihat tersebut. Hal ini berbeza dengan golongan yang tidak mempedulikan tentang ayat-ayat Allah ini seperti yang terkandung di dalam Surah al-Furqan yang bermaksud: 

"Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat
Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang
yan tuli dan buta" (al-Furqan, 25:73).

Dalam konteks pembangunan pula, pelaku pembangunan yang membawa perwatakan dengan menghayati ayat-ayat Allah ini akan menjalankan aktiviti pembangunan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam al-Quran. Pelaku pembangunan yang mengamalkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Di dalam perwatakan manusia terhadap diri sendiri ianya dibahagikan kepada empat ciri iaitu sederhana dalam berbelanja, menjauhi zina, sentiasa bertaubat, dan tidak melakukan perbuatan sia-sia. Ciri yang pertama iaitu bersederhana dalam berbelanja memberi pengajaran kepada pelaku pembangunan bahawa setiap harta yang diperoleh melalui aktiviti pembangunan haruslah diinfakkan untuk menunjukkan ketaatan manusia terhadap perintah Allah. Perwatakan yang kedua iaitu menjauhi zina di mana pelaku pembangunan perlu mengawal diri sedaya upaya untuk menjauhi perbuatan tersebut kerana dikuatiri akan merosakkan nasab keturunan dan perbuatan yang buruk lagi keji. Sehubungan dengan itu, dalam kegiatan pembangunan yang dijalankan oleh pelaku pembangunan yang berjaya menjauhi zina sudah pasti dapat mendidik dan membimbing nafsu ke arah kebaikan supaya tingkat nafsu mutmainnah (ketenangan) dapat dicapai.

Seterusnya adalah perwatakan sentiasa bertaubat yang diamalkan oleh pelaku pembangunan dalam usaha untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT. Apabila bertaubat secara langsung dosa-dosa yang terdahulu akan dihapuskan oleh Allah SWT (Muhammad Hasbi al- Shiddieqy, 2011:296). Keampunan dan rahmat Allah SWT maha luas dan sentiasa terbuka untuk mereka yang bertaubat. perwatakan terakhir adalah meninggalkan perkara yang sia-sia. Perwatakan pelaku pembangunan ini bermaksud meninggalkan dan tidak terlibat sama sekali di dalam perkara-perkara yang menggelapkan hati. Pelaku pembangunan yang tidak membiarkan diri mereka terlibat dalam perkara yang sia-sia ini adalah seoarang pelaku pembangunan yang menjaga diri daripada terlibat dalam perkara yang mendatangkan dosa. Selain itu, dalam konteks pembangunan, pelaku pembangunan yang menahan diri daripada melakukan perkara yang sia-sia dan tidak melalaikan ini akan mencapai matlamat pembangunan yang dikehendaki.

Perwatakan terakhir dalam Surah al-Furqan yang menjadi asas kepada konsep bagi perwatakan pelaku pembangunan berteraskan Islam adalah perwatakan manusia dengan manusia yang lain dan sumber alam. Perwatakan yang pertama adalah tawaduk. Sifat tawaduk ini dijelaskan dalam Surah al-Furqan ayat 63 di mana berdasarkan huraian Hamka (1990:5059) iaitu beliau menjelaskan bahawa manusia berjalan di atas bumi Allah SWT dengan penuh sopan santun, kerendahan hati dan tidak sombong sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang
yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang
jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata
(yang mengandungi) keselamatan" (Surah al-Furqan, 25-63).

Oleh itu, dalam konteks pembangunan, keuntungan dan kemajuan yang dikecapi dalam aktiviti pembangunan ini tidak akan mampu menggoyahkan iman mereka kerana dalam hati mereka mengandungi sifat rendah diri serta tawaduk dalam sebarang perkara. Perwatakan seterusnya adalah dengan menghormati kehidupan. Menghormati kehidupan adalah di mana setiap manusia itu perlu mengetahui fungsinya sebagai hamba Allah dengan membenarkan jiwa mereka percaya serta tunduk terhadap perintah Allah. Manusia ini juga perlu menjauhi diri mereka daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti berzina.

 Perwatakan terakhir adalah perwatakan memohon kebaikan untuk ahli keluarga. Di dalam Surah al-Furqan memperihalkan mengenai perwatakan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT yang sentiasa berdoa untuk memohon kebaikan untuk ahli keluarga. Dalam aspek manusia sebagai pelaku PBI, mereka yang memiliki perwatakan ini menjalankan kegiatan pembangunan dengan penuh pergantungan kepada Allah SWT dan sedaya upaya memelihara keberkatan rezeki hasil daripada urusan pembangunan tersebut. Jelas bahawa, amalan doa yang diamalkan ini membuktikan sifat tawaduk dalam diri yang mengharapkan bantuan daripada Allah SWT (Khairul Ghazali, 2005:41).
Kesimpulannya, di dalam Surah al-Furqan ini membincangkan perwatakan manusia secara menyeluruh iaitu perwatakan manusia dengan Allah, perwatakan manusia dengan diri sendiri, dan perwatakan manusia dengan manusia lain dan sumber alam. Perkara ini jelas menunjukkan untuk menjadi seorang insan yang baik dan berjaya di dunia dan akhirat maka seseorang manusia tersebut harus menjaga hubungannya dengan pencipta, perlu menghormati diri sendiri, dan perlu juga menjaga hubungan dengan manusia lain dan sumber alam yang diciptakan oleh Allah.
 Bibliografi
Nurul Farhana yahaya. (2015). Perwatakan pelaku pembangunan: kajian  berdasarkan Surah al-Furqan. Universiti Sains Malaysia. Tidak diterbitkan.





Monday, May 4, 2015

ETIKA KERJA DALAM ISLAM DAN KOMITMEN ORGANISASI


Surah al-Baqarah ayat 282 merupakan panduan yang boleh diguna pakai oleh pelaku pembangunan dalam mengamalkan sikap adil, benar, dan bertanggugjawab. Keadilan disini bukan sahaja merupakan nilai yang sangat penting dalam kehidupan peribadi ataupun dalam perniagaan sahaja malah merupakan nilai yang sangat penting yang perlu ada di dalam fitrah manusia itu sendiri. Ini bermaksud keadilan ini perlu dipupuk sedari awal lagi agar ianya terus menjadi perlakuan yang semulajadi seseorang manusia itu.

Berkaitan dengan etika kerja Islam, dalam kehidupan berorganisasi setiap muslim perlu memberikan sepenuh komitmen terhadap organisasi di dunia dengan suatu saranan bahawa setiap daripada pembangunan dan pertumbuhan material haruslah ditunjukkan demi keadilan, kebenaran, dan peningkatan ketakwaan spiritual baik dari segi organisasi itu sendiri mahupun diri pelaku pembangunan tersebut. Menurut Yousef (2000), semakin tinggi etika kerja Islam didalam organisasi maka akan semakin tinggi komitmen yang dimiliki organisasi itu sendiri.

Menurut Steers (1985) dalam Astri Fitria (2003) mendefinisikan komitmen organisasi sebagai rasa kepercayaan terhadap nilai-nilai organisasi, kesediaan untuk berusaha sebaik mungkin demi kepentingan organisasi dan kesetiaan terhadap organisasi seperti yang dinyatakan oleh pelaku pembangunan terhadap organisasinya. Steers juga berpendapat bahawa komitmen organisasi merupakan keadaan di mana pelaku pembangunan itu sangat tertarik terhadap tujuan, nilai-nilai, dan sasaran sesebuah organisasi tersebut. Komitmen terhadap organisasi bermaksud bukan sahaja menjadi ahli biasa dalam organisasi namun sebagai pelaku pembangunan yang mempunyai sikap suka akan organisasi dan bersedia untuk berusaha meningkatkan keupayaan untuk kepentingan organisasi demi mencapai tujuan atau matlamat organisasi. Berdasarkan definisi tersebut, dalam komitmen organisasi unsur-unsur seperti kesetiaan terhadap organisasi , keterlibatan dalam pekerjaan, dan kenal pasti nilai-nilai dan tujuan organisasi.

Penelitian antara etika kerja dengan komitmen organisasi Kidron (1978) dalam Yousef (2000) melaporkan bahawa etika kerja dalam hal ini lebih tertumpu terhadap sikap daripada momitmen kalkulatif. Meglino et al (1989) berpendapat bahawa para pekerja lebih puas dan berkomitmen apabila nilai-nilai mereka selaku pelaku pembangunan mempunyai nilai-nilai diri dan perlu selaras dengan nilai-nilai atasan. Secara kesimpulannya, pengamalan etika kerja dalam Islam yang mementingkan nilai-nilai spiritual berbanding nilai-nilai material menjadi tunjang kepada pembentukan organisasi yang lebih bersikap positif dan berdaya maju. Oleh itu, semakin tinggi etika seseorang pelaku pembangunan tersebut, maka semakin efektif budaya kerja sesebuah organisasi tersebut. 


Rujukan : Alwiyah Jamil, pengaruh etika kerja Islam terhadap sikap-sikap pada perubahan organisasi (2007)


  



Sunday, April 26, 2015

PERANAN DAN CABARAN DALAM MELAHIRKAN INDIVIDU 
YANG PROGRESIF DAN BERKUALITI


Falsafah pembangunan bangsa dan negara yang menjadi dasar kepimpinan negara seperti yang dijelaskan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Dr. Mahathir Mohammad, menyatakan bahawa konsep negara maju yang hendak diwujudkan di Malaysia menjelang tahun 2020 adalah berteraskan aspek sahsiah diri seperti moral dan etika dalam mencapai tahap kemajuan ekonomi dan perindustriannya. Dalam melahirkan masyarakat yang bermoral dan bertamadun, pembangunan bangsa Malaysia di dalam negara maju itu perlu berasaskan pembangunan insan yang dapat melahirkan masyarakat bangsa yang bersatu, saintifik, progresif, maju, berjiwa bebas, penyayang dan bersifat dengan sifat-sifat murni yang lain. Kecemerlangan kebendaan yang dijiwai oleh kecemerlangan moral dan akhlak manusia itu sendiri menjadi aspek utama dalam usaha melahirkan membentuk negara maju pada tahun 2020.

Dalam usaha untuk melahirkan insan yang progresif dan berkualiti pelbagai pihak harus menjadikan ianya sebagai tanggungjawab  bersama dalam memastikan usaha murni ini tercapai. Institusi formal dan tidak formal, termasuklah rumah tangga, media massa dan sebagainya menjadi pemangkin kepada pembentukan individu yang progresif dan berkualiti. Sekolah merupakan sebuah institusi yang berperanan dalam melahirkan pelajar yang berkualiti, namun institusi formal ini kadang-kala tidak dapat melahirkan individi gred A ini. Pendidikan formal di Malaysia tidak akan memberi sepenuhnya perhatian terhadap anak-anak murid. Oleh itu, Institusi ini bertnggugjawab dalam menguruskan pelajar supaya menjadi insan yang lebih fokus terhadap tujuan sebenar mendidik pelajar menjadi insan yang lebih baik di masa hadapan.

Cabaran dalam melahirkan dan membentuk manusia yang mempunyai sahsiah diri yang baik tidak dapat dicapai di dalam dunia yang serba moden dan canggih ini. Hal ini kerana, sistem sosial, perundangan, perekonomian dan lain-lain lagi tidak berasaskan struktur yang kondusif untuk melahirkan manusia seperti yang dihajati. Kewujudan pusat-pusat hiburan, perkembangan program televisyen yang tidak dikawal, kelonggaran ikatan kekeluargaan, dan kepincangan sosio budaya yang lain telah membantu melahirkan generasi muda yang berfikiran pasif, tidak peka terhadap nilai-nilai budaya yang tnggi, tidak menghargai masa, dan pelbagai sikap negatif yang lain.

Dalam perkembangan dunia perniagaan dan perdagangan pula, sikap tidak bermoral seperti dengki, tamak, rasuah, penipuan dan pelbagai lagi dapat dilihat dengan jelas dan hal ini menunjukkan bahawa masalah ini tidak boleh dikawal lg. Masalah ini jelas sekali membuktikan bahawa masyarakat masih tidak menerapkan nilai-nilai murni yang baik dan tidak mempunyai sahsiah diri yang cemerlang. Konflik dan krisis nilai murni yang dihadapi oleh golongan muda kini menunjukkan bahawa kekuatan atau keinginan dalam merebut kekuasaan melebihi daripada kekuatan moral dan peradaban manusia yang tinggi.

Kesimpulannya, menyedari hakikat ini, maka pelbagai usaha perlu dilakukan bagi memudahkan penyaluran maklumat kepada individu yang kurang jelas mengenai kepentingan pembentukkan sahsiah diri yang cemerlang tersebut. Pelbagai pihak perlu tampil untuk membantu pelajar-pelajar yang tidak mengetahui akan pentingnya pembentukkan sahsiah diri dan peningkatan terhadap sikap-sikap mahmudah.


Rujukan : Nik Mustapha Haji Nik Hassan, Siti Fatimah Abdul Rahman, Alias Ibrahim (1993). Islam, Budaya Kerja dan Pembangunan Masyarakat- Satu Kefahaman. Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sunday, April 19, 2015

Pandangan Islam mengenai Pelaku Pembangunan 
(Manusia)


Allah S.W.T berkehendakkan kita sebagai hambanya mengetahui dan mengamalkan ajaran Islam dalam segala segi. Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang berbunyi "Udkhulu fis silmi kaffah". Ayat tersebut mengandungi dua maksud iaitu maksud yang pertama: Masuklah kamu sekalian ke dalam damai. maksud yang kedua: Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan. Erti yang kedua inilah yang menunjukkan bahawa Allah S.W.T menegaskan Islam itu perlu diketahui dan diamalkan secara keseluruhan.

Secara keseluruhannya Islam merupakan agama yang kukuh, dimana ia meliputi sesuatu sistem yang mempunyai beberapa sub-sistem yang lain. Sistem dan sub-sistem ini bertujuan untuk mencapai sesuatu tujuan yang tertentu. Mengenal Islam mestilah secara keseluruhan dan bukan pada bahagian-bahagian tertentu sahaja.

Kehidupan Manusia beragama di dunia ini mempunyai dua tujuan iaitu mencari kesenangan hidup di dunia dan kesenangan hidup di akhirat. Hal ini tergambar di dalam setiap harapan manusia yang berkehendakkan kesenangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Kedua-dua tujuan ini perlulah ditempuh dengan seimbang dimana apabila kehidupan dunia bersifat material dan kehidupan akhirat dalam bentuk spiritual, maka manusia haruslah seimbangkan antara kehidupan yang material dan spiritual.

Dalam usaha manusia memenuhi kesenangan dunia, ia berhubung dengan manusia lain di sekelilingnya. erti kata lain untuk mendapatkan kesenangan kita harus menjaga hubungan baik sesama manusia. Begitu juga untuk mendapatkan kebahagiaan di akhirat, manusia perlu menjaga hubungan baik dengan pencipta iaitu Allah S.W.T. Oleh itu, untuk mencapai kesenangan di dunia dan di akhirat kita harus menjaga hubungan baik dengan Allah yang disebut hablun min Allah dan menjaga hubungan baik dengan manusia sekitarnya yang disebut hablum min an-Nas.

dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan antara manusia dengan Allah dan manusia sesama manusia, Islam mempunya dasarnya yang tertentu iaitu berdasarkan wahyu Allah. Wahyu Allah tidak menjelaskan segala sesuatu itu secara terperinci, Oleh itu menjadi tanggungjawab manusia yang diberi akal oleh Allah dan berperanan sebagai khalifah di muka bumi ini untuk mentafsir, memperincikan dan mengembangkan konsep tersebut.

Kesimpulannya, fungsi manusia di muka bumi ini sangat luas kerana manusia memang dijadikan Allah sebagai khalifah di muka bumi bukan sahaja untuk kesenangan diri sendiri tetapi untuk menyumbangkan ilmu pengetahuan kepada orang lain. Manusia hanya perlu berpegang kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah dan cuba untuk mentafsir bagaimana untuk sampaikan kepada manusia yang lain. Oleh itu kata kunci yang paling penting disini adalah ilmu pengetahuan. jika seseorang mempunyai ilmu pengetahuan untuk dirinya dan menyumbangkan ilmu tersebut kepada manusia yang lain maka dia akan memperoleh kesenangan bukan sahaja di dunia malah di akhirat.


Rujukan:

1. A. Rifa'i Hassan & Amrullah Achmad (1987). Perspektif Islam dalam Pembangunan Bangsa (Pertemuan Cendekiawan Muslim Pertama Lembaga Studi Agama dam Filsafat (LSAF). Yogyakarta: Indonesia.