Monday, November 16, 2015

Perwatakan Pelaku Pembangunan Menurut Al-Quran

Perwatakan pelaku pembangunan ada dibincangkan dalam al-Quran, namun ianya tidak secara khusus memfokuskan terhadap perwatakan pelaku pembangunan. Terdapat beberapa surah yang membincangkan mengenai perwatakan manusia seperti Surah al-Furqan, Surah Luqman, Surah al-Mukminun, Surah Mukmin, dan pelbagai surah lagi di dalam al-Quran. Perwatakan pelaku pembangunan dilihat lebih banyak dikupas di dalam Surah al-Furqan dimana di dalam surah tersebut membincangkan 11 perwatakan yang perlu ada dalam diri seseorang insan.

Perwatakan pertama yang dibincangkan adalah mengenai solat malam. Dalam Surah al-Furqan manusia yang berfungsi sebagai hamba Allah SWT dengan melakukan ibadah solat malam ini dianggap mereka yang amat menitik beratkan soal ibadah. Namun tafsiran surah ini menggambarkan solat malam ini sebagai salah satu ibadah khusus dan ibadah umumnya adalah dengan menjalankan aktiviti pembangunan. Dalam hal ini, seseorang pelaku pembangunan amat menjaga ibadah pada malam hari seperti yang dijelaskan dalam Surah al-Furqan yang bermaksud:

"Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri
untuk Tuhan mereka" (al-Furqan, 25:64).

Perwatakan ke-dua adalah takut akan azab Allah. Seorang pelaku pembangunan yang berjaya perlulah mempunyai sikap takutkan azab Allah supaya mereka takut untuk melakukan dosa semasa menguruskan pembangunan. Oleh yang demikian, di dalam Surah al-Furqan ini digambarkan pelaku pembangunan sangat takutkan azab Allah yang pedih dan dasyat. Perkara ini disebut dalam Surah al-Furqan yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha penyayang itu (ialah) orang-orang
yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila
orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata
(yang mengandungi) keselamatan. Dan orang yang melalui malam
hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka. Dan orang-
orang yang berkata: "Ya Tuhan kami Jauhkan azab Jahannam dari
kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal".
Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap
dan tempat kediaman" (al-Furqan, 25:63-64).

Dalam ayat ini menunjukkan bahawa, ketakutan manusia ini seolah-olah mereka melihat dengan sendirinya tentang balasan azab di akhirat kelak sedangkan manusia itu hanya mengetahui mengenai pembalasan itu melalui al-Quran dan Hadith Baginda SAW. Hal ini diperkatakan oleh Sayyid Qutb (2000:565) dan al-Qurtubiy (2009:176) dengan mengatakan bahawa mereka amat takutkan azab api neraka yang menjadi seburuk-buruk tempat kembali.

Seterusnya perwatakan mentauhidkan Allah yang menjadi aspek penting dalam kehidupan umat Islam kerana ia menjadi dasar kepada keislaman seseorang manusia. Perkara ini jelas digambarkan dalam Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain
beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah
(membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak
berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya
dia mendapat (pembalasan) dosa (nya)" (al-Furqan, 25:68).

Menurut al-Tabariy (2009:478) maksud daripada ayat tersebut adalah orang-orang yang tidak menyembah Tuhan sambil menyembah Allah SWT bererti mempersekutukan dalam ibadah mereka terhadap Allah SWT.

Perwatakan terakhir dalam menjaga hubungan dengan Allah adalah dengan menghayati ayat-ayat Allah SWT. Perwatakan ini dapat mewujudkan keinsafan di dalam diri manusia tersebut dengan menghayati nasihat-nasihat melalui ayat-ayat Allah SWT. Pelaku pembangunan yang menghayati ayat-ayat Allah dengan baik akan membuatkan mereka lebih memahami dan beramal dengan nasihat-nasihat tersebut. Hal ini berbeza dengan golongan yang tidak mempedulikan tentang ayat-ayat Allah ini seperti yang terkandung di dalam Surah al-Furqan yang bermaksud: 

"Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat
Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang
yan tuli dan buta" (al-Furqan, 25:73).

Dalam konteks pembangunan pula, pelaku pembangunan yang membawa perwatakan dengan menghayati ayat-ayat Allah ini akan menjalankan aktiviti pembangunan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam al-Quran. Pelaku pembangunan yang mengamalkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Di dalam perwatakan manusia terhadap diri sendiri ianya dibahagikan kepada empat ciri iaitu sederhana dalam berbelanja, menjauhi zina, sentiasa bertaubat, dan tidak melakukan perbuatan sia-sia. Ciri yang pertama iaitu bersederhana dalam berbelanja memberi pengajaran kepada pelaku pembangunan bahawa setiap harta yang diperoleh melalui aktiviti pembangunan haruslah diinfakkan untuk menunjukkan ketaatan manusia terhadap perintah Allah. Perwatakan yang kedua iaitu menjauhi zina di mana pelaku pembangunan perlu mengawal diri sedaya upaya untuk menjauhi perbuatan tersebut kerana dikuatiri akan merosakkan nasab keturunan dan perbuatan yang buruk lagi keji. Sehubungan dengan itu, dalam kegiatan pembangunan yang dijalankan oleh pelaku pembangunan yang berjaya menjauhi zina sudah pasti dapat mendidik dan membimbing nafsu ke arah kebaikan supaya tingkat nafsu mutmainnah (ketenangan) dapat dicapai.

Seterusnya adalah perwatakan sentiasa bertaubat yang diamalkan oleh pelaku pembangunan dalam usaha untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT. Apabila bertaubat secara langsung dosa-dosa yang terdahulu akan dihapuskan oleh Allah SWT (Muhammad Hasbi al- Shiddieqy, 2011:296). Keampunan dan rahmat Allah SWT maha luas dan sentiasa terbuka untuk mereka yang bertaubat. perwatakan terakhir adalah meninggalkan perkara yang sia-sia. Perwatakan pelaku pembangunan ini bermaksud meninggalkan dan tidak terlibat sama sekali di dalam perkara-perkara yang menggelapkan hati. Pelaku pembangunan yang tidak membiarkan diri mereka terlibat dalam perkara yang sia-sia ini adalah seoarang pelaku pembangunan yang menjaga diri daripada terlibat dalam perkara yang mendatangkan dosa. Selain itu, dalam konteks pembangunan, pelaku pembangunan yang menahan diri daripada melakukan perkara yang sia-sia dan tidak melalaikan ini akan mencapai matlamat pembangunan yang dikehendaki.

Perwatakan terakhir dalam Surah al-Furqan yang menjadi asas kepada konsep bagi perwatakan pelaku pembangunan berteraskan Islam adalah perwatakan manusia dengan manusia yang lain dan sumber alam. Perwatakan yang pertama adalah tawaduk. Sifat tawaduk ini dijelaskan dalam Surah al-Furqan ayat 63 di mana berdasarkan huraian Hamka (1990:5059) iaitu beliau menjelaskan bahawa manusia berjalan di atas bumi Allah SWT dengan penuh sopan santun, kerendahan hati dan tidak sombong sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang
yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang
jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata
(yang mengandungi) keselamatan" (Surah al-Furqan, 25-63).

Oleh itu, dalam konteks pembangunan, keuntungan dan kemajuan yang dikecapi dalam aktiviti pembangunan ini tidak akan mampu menggoyahkan iman mereka kerana dalam hati mereka mengandungi sifat rendah diri serta tawaduk dalam sebarang perkara. Perwatakan seterusnya adalah dengan menghormati kehidupan. Menghormati kehidupan adalah di mana setiap manusia itu perlu mengetahui fungsinya sebagai hamba Allah dengan membenarkan jiwa mereka percaya serta tunduk terhadap perintah Allah. Manusia ini juga perlu menjauhi diri mereka daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti berzina.

 Perwatakan terakhir adalah perwatakan memohon kebaikan untuk ahli keluarga. Di dalam Surah al-Furqan memperihalkan mengenai perwatakan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT yang sentiasa berdoa untuk memohon kebaikan untuk ahli keluarga. Dalam aspek manusia sebagai pelaku PBI, mereka yang memiliki perwatakan ini menjalankan kegiatan pembangunan dengan penuh pergantungan kepada Allah SWT dan sedaya upaya memelihara keberkatan rezeki hasil daripada urusan pembangunan tersebut. Jelas bahawa, amalan doa yang diamalkan ini membuktikan sifat tawaduk dalam diri yang mengharapkan bantuan daripada Allah SWT (Khairul Ghazali, 2005:41).
Kesimpulannya, di dalam Surah al-Furqan ini membincangkan perwatakan manusia secara menyeluruh iaitu perwatakan manusia dengan Allah, perwatakan manusia dengan diri sendiri, dan perwatakan manusia dengan manusia lain dan sumber alam. Perkara ini jelas menunjukkan untuk menjadi seorang insan yang baik dan berjaya di dunia dan akhirat maka seseorang manusia tersebut harus menjaga hubungannya dengan pencipta, perlu menghormati diri sendiri, dan perlu juga menjaga hubungan dengan manusia lain dan sumber alam yang diciptakan oleh Allah.
 Bibliografi
Nurul Farhana yahaya. (2015). Perwatakan pelaku pembangunan: kajian  berdasarkan Surah al-Furqan. Universiti Sains Malaysia. Tidak diterbitkan.